MOF: Pengecualian CGT ke atas unit amanah kurangkan unjuran hasil pendapatan negara

MOF: Pengecualian CGT ke atas unit amanah kurangkan unjuran hasil pendapatan negara

KUALA LUMPUR,. Pengecualian Unit Amanah daripada pengenaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sudah pasti akan memberi kesan pengurangan kepada unjuran hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan CGT, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata bagaimanapun, kerajaan berpandangan bahawa pengecualian CGT ke atas Unit Amanah akan membantu melonjakkan lagi prestasi pasaran modal, di samping memberi manfaat sepenuhnya kepada lebih 90 peratus pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri tersebut.

“Pengecualian ini juga bertujuan untuk memastikan Unit Amanah kekal sebagai pilihan pelaburan yang menarik pada masa hadapan dan boleh diakses oleh rakyat.

“Selain itu, ia turut memberi manfaat melalui pulangan yang lebih kepada para pelabur individu, yang mana kebanyakan mereka terdiri daripada mereka yang dalam golongan pra persaraan danawal persaraan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Dengan pelaksanaan CGT mulai 1 Mac 2024, kerajaan mengunjurkan tambahan hasil sekitar RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham semenjak beberapa tahun terkini.

Hasil daripada sesi perbincangan dengan pemain industri pasaran modal mengenai kesan CGT ke atas agihan keuntungan kepada pemegang unit, kerajaan telah bersetuju untuk mengecualikan Unit Amanah daripada kenaan CGT berkuat kuasa mulai 1 Jan 2024 sehingga 31 Dis 2028.

Kerajaan turut memberi pengecualian CGT ke atas keuntungan daripada pelupusan aset modal asing oleh Unit Amanah yang diremitkan ke Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah pengecualian CGT terhadap unit amanah akan memberi kesan kepada unjuran hasil pendapatan negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )