
Yang Dipertua Dewan Negara Mutang Tagal, meninggal dunia
KUCHING,. Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 11.46 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara menerusi kenyataan, hari ini turut menyatakan pemergian beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
“Beliau telah menerima rawatan di sana setibanya di Malaysia pada 6 Mei 2024 daripada Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.
“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian,” menurut pejabat Yang Dipertua Dewan Negara.
Pejabat berkata, keluarga mendiang Mutang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini.
Senator Datuk Mutang Tagal, 70 tahun telah dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 dan telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.
Mutang menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.
Beliau adalah merupakan Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak, berkhidmat pada tahun 1982 hingga 1990.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan.
–Agensi