Usah buat spekulasi status kesihatan Mutang Tagal: Pejabat YDP Dewan Negara

Usah buat spekulasi status kesihatan Mutang Tagal: Pejabat YDP Dewan Negara

KUALA LUMPUR,. Semua pihak diharap tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung status kesihatan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pejabat Yang Di-Pertua (YDP) Dewan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebarang maklumat berhubung status kesihatan Mutang akan dimaklumkan oleh pihaknya mengikut keadaan semasa.

“Keluarga YB Senator Datuk Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman doa yang diberikan untuk beliau dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam tempoh rawatan ini,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Mutang menerima rawatan di IJN setibanya semalam dari Azerbaijan untuk lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Yang di-Pertua Dewan Negara itu mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ilham Aliyev Perdana Menteri Ali Asadov dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan Sahiba Gafarova serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )