Hanya 15 peratus penggajian pekerja asing menjelang 2020

Hanya 15 peratus penggajian pekerja asing menjelang 2020

KUALA LUMPUR,. Kerajaan menetapkan hanya 15 peratus sahaja penggajian pekerja asing daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2020, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).

KSM, dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini, menyatakan sasaran tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan modan insan tempatan yang berkemahiran serta berpendapatan tinggi.

“Dasar semasa kerajaan ialah mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Pada ketika ini, kerajaan hanya memberikan kebenaran untuk menggajikan pekerja asing di sektor dan sub-sektor tertentu, yang telah dikenal pasti kurang diminati oleh rakyat tempatan seperti dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan perlombongan dan pengkuarian,” kata kementerian itu.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang mahu kementerian menyatakan sama ada terdapat keperluan untuk menetapkan kuota pengambilan dan pemberian gaji yang setimpal untuk pekerja tempatan sebagai pekerja buruh dalam sektor 3D (kotor, sukar dan berbahaya).

Jawapan itu juga menyatakan kerajaan juga mengenakan syarat yang ketat ke atas majikan yang ingin mengajikan pekerja asing dengan mewajibkan mereka mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan dalam portal JobsMalaysia sebelum dikeluarkan Perakuan JobsMalaysia.

Pendekatan ini adalah bagi memastikan keutamaan mengisi sesuatu kekosongan jawatan diberikan terlebih dahulu kepada rakyat tempatan walaupun pada kategori pekerjaan asas.

“Semua permohonan penggajian pekerja asing diwajibkan dibuat dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx).

“Setiap permohonan akan disiasat oleh pegawai Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan kesahihan majikan, keperluan sebenar mengikut kelayakan, usaha mendapatkan pekerja tempatan, pematuhan undang-undang perburuhan dan penyediaan perumahan pekerja,” katanya.

KSM juga menguatkuasakan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Perintah Gaji Minimum 2016) sebagai satu usaha untuk menarik pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor yang dianggap 3D.

Pelaksanaan akta ini diharap dapat menghalang majikan daripada membayar gaji rendah dalam beberapa sub-sektor tertentu yang akan mendorong majikan untuk mengajikan pekerja asing, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )