DNAA: Jawatankuasa Khas Parlimen panggil Peguam Negara, bekas Peguam Negara

DNAA: Jawatankuasa Khas Parlimen panggil Peguam Negara, bekas Peguam Negara

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, akan memanggil Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, memberikan penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa itu William Leong Jee Keen berkata satu laporan akan dibentangkan selepas prosiding itu dilaksanakan.

“Jawatankuasa akan mengadakan prosiding, panggil kedua-dua peguam negara untuk beri penjelasan.

“Kenyataan media telah dikeluarkan, dan ini menjadi perkara yang orang awam boleh tahu. Kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya bagi menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pada Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.

Keadaan itu turut mengundang Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bangun, mendakwa Shahidan yang merupakan ahli jawatankuasa itu, seharusnya tahu mengenai hal berkenaan.

“Arau (Shahidan) sendiri merupakan seorang daripada ahli Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut, dia tahu kita akan panggil Peguam Negara untuk berikan penerangan dan prosiding akan dijalankan, tetapi dia masih nak bangkit isu ini dalam Parlimen,” kata Poay Tiong.

Shahidan meminta penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengenai usul Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ditolak semalam, melibatkan permohonan penjelasan daripada Peguam Negara terhadap keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Johari menjelaskan, yang beliau memberikan ruang kepada wakil Ahli Parlimen pembangkang untuk bercakap mengenai usul tergempar yang ditolak itu.

“Saya sebut semalam kepada Arau (Shahidan) dan Machang (Wan Ahmad Fayhsal), saya akan beri ruang. Saya tahu ini isu politik yang masyarakat pun nak tahu apa berlaku.

“Saya cakap ‘selepas Perdana Menteri bentang’ (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12). Maksud ‘selepas’, saya tak kata semalam, (atau) hari ini. ‘Selepas’ maknanya anda mempunyai enam hari (tempoh sidang Dewan Rakyat), anda boleh bercakap, saya takkan hentikan apabila isu ini dibangkitkan,” katanya.

Johari turut menjelaskan usul itu ditolak dengan mengambil kira kes terdahulu pada 23 Julai 2021 apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu Tan Sri Azhar Azizan Harun, turut menolak dua usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Parlimen Port Dickson, untuk membincangkan isu-isu semasa proklamasi darurat.

“Tapi Speaker Azhar mengatakan bahawa dia tidak boleh membenarkan kerana Peraturan Mesyuarat 11(3) termaktub dengan jelas bahawa yang menentukan adalah perdana menteri. Saya mengambil precedent itu kerana sekarang adalah Sidang Khas di bawah 11 (3),” katanya.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula dengan sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, terhenti kira-kira 30 minit apabila blok pembangkang bangkit mendakwa Johari menangguhkan sesi semalam, sebelum membenarkan mereka bercakap mengenai usul yang ditolak seperti yang dijanjikan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )