
Lebih 1,700 aduan penderaan haiwan disiasat
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 1,766 aduan berkaitan pengabaian dan penganiayaan haiwan telah disiasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dari 2020 hingga Jun lepas dengan 52 kes daripadanya berjaya disabitkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata pihaknya memandang serius isu penderaan dan pembunuhan haiwan, khususnya melibatkan haiwan terbiar serta komited untuk terus memperkukuh usaha melindungi kebajikan haiwan di negara ini.
“Bagi menangani isu terbabit secara berkesan, DVS telah membangunkan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021–2030, yang menjadi rangka kerja jangka panjang bagi memastikan pengurusan haiwan di negara ini menepati piawaian kebajikan serta membudayakan nilai kasih sayang dan ihsan terhadap haiwan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan penderaan haiwan terbiar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
–BERNAMA

