Kerajaan sedia peruntukan tambahan RM50 juta kepada MATRADE, segerakan penerokaan pasaran baharu – PM

Kerajaan sedia peruntukan tambahan RM50 juta kepada MATRADE, segerakan penerokaan pasaran baharu – PM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah tersebut merupakan satu daripada strategi Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana, berikutan tarif timbal balik mengejut yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.

“Antara ikhtiar yang akan dilaksanakan termasuklah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran baharu melalui penglibatan dalam ekspo/pameran perdagangan antarabangsa serta membuat padanan perniagaan dengan pembeli luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan tarif AS, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan terus menggalakkan usaha menarik perniagaan dan modal insan global ke Malaysia khususnya dalam bidang keutamaan negara seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk ahli akademik daripada universiti terkemuka.

“Sememangnya kita telah mula menerima penzahiran minat untuk berpindah ke Malaysia daripada tokoh-tokoh dalam bidang sains dan profesional,” kata beliau.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This