
Kerajaan belum beri keputusan 24 permohonan baharu pusat data – Johari Ghani
KUALA LUMPUR,. Kerajaan belum memberikan keputusan terhadap 24 permohonan baharu pusat data kerana mahu menilai kecukupan bekalan tenaga bagi menampung projek yang telah diluluskan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata penilaian itu mengambil kira keperluan 117 pusat data yang sudah mendapat kelulusan, selain kemampuan menyediakan bekalan tambahan melalui tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan teknologi baharu.
“Sebanyak 24 permohonan baharu pusat data telah diterima, namun kita belum memberikan sebarang jawapan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanyakan sama ada wujud konflik kepentingan apabila sebuah syarikat pembekal air di Johor turut mempunyai kepentingan besar dalam pelaburan pusat data di negeri itu.
Johari berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengenai kecukupan bekalan elektrik dan margin simpanan tenaga sebelum mempertimbangkan kelulusan pusat data tambahan.
“Langkah itu penting bagi memastikan keperluan tenaga industri lain tidak terjejas oleh kemasukan pelaburan pusat data.
“Sekiranya bekalan sedia ada tidak mencukupi, kerajaan akan meneliti pilihan penjanaan di luar grid, termasuk penggunaan tenaga solar bersama sistem penyimpanan bateri,” katanya.
Beliau berkata kecukupan air perlu disahkan kerajaan negeri sebelum sesuatu projek dapat dipertimbangkan.
“Kalau negeri itu tak cukup air, walaupun dia ada tanah, kita tak boleh bagi kelulusan tersebut.
“Kerajaan perlu memastikan bekalan utiliti dapat disediakan sebelum pelabur membawa masuk modal yang besar untuk membangunkan pusat data,” katanya.
— BERNAMA

