
Agenda pembinaan negara bangsa bakal dilancar 2 Dis – Aaron
KUALA LUMPUR,. Agenda pembinaan negara bangsa yang memberi penekanan terhadap pembentukan identiti nasional, penghayatan sejarah, nilai kenegaraan dan semangat kebersamaan sebagai rakyat Malaysia akan dilancarkan pada 2 Disember ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian itu diberi mandat menerajui agenda berkenaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang turut merangkumi usaha memperkukuh jati diri, kesedaran sejarah dan kesetiaan kepada negara tanpa mengira perbezaan etnik, agama serta budaya.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan naratif sejarah dan pembinaan identiti nasional berpaksikan fakta sejarah, Perlembagaan Persekutuan serta prinsip perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kedudukan sejarah, budaya, agama Islam dan identiti Melayu sebagai antara asas pembentukan negara sentiasa diiktiraf, di samping memelihara hak, sumbangan dan warisan masyarakat lain yang turut mencorakkan identiti Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai pendekatan kerajaan dalam memastikan naratif sejarah dan pembinaan identiti nasional mengambil kira kedudukan Islam serta identiti Melayu sebagai teras pembentukan negara, di samping menghormati hak dan kepelbagaian masyarakat lain.
Aaron berkata pendekatan itu turut diterjemahkan melalui Dasar Perpaduan Negara yang mengambil kira asas kenegaraan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk institusi Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata dasar berkenaan turut mengiktiraf kepentingan sah kaum lain, selain kepelbagaian etnik, agama, bahasa dan budaya yang membentuk identiti nasional Malaysia.
“Pembinaan identiti nasional bukan bermaksud menghapuskan identiti setiap komuniti, sebaliknya membina jati diri kebangsaan yang dikongsi bersama berteraskan sejarah negara, Rukun Negara, patriotisme dan kesetiaan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut mendapatkan pandangan ahli sejarah, pakar Perlembagaan, ahli akademik serta pakar sosiologi dan kebudayaan bagi memastikan naratif sejarah negara dibangunkan berasaskan fakta dan bersifat inklusif.
Mengulas mengenai penyebaran maklumat sejarah tidak tepat yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama, Aaron berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi bagi menangani cabaran penyebaran kandungan mengelirukan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata perkembangan teknologi termasuk deepfake yang berupaya menghasilkan kandungan palsu seolah-olah benar boleh mempengaruhi pemikiran dan ideologi generasi muda yang semakin terdedah kepada pelbagai platform digital.
Katanya media sosial juga merupakan antara 10 defisit sosial yang dikenal pasti kerajaan sebagai cabaran dalam memperkukuh perpaduan negara, selain isu berkaitan agama dan kaum, justeru kerjasama antara kementerian serta agensi berkaitan akan diteruskan bagi menangani cabaran teknologi semasa.
— BERNAMA

