
Teknologi pengimbas kargo perlu dinaik taraf, perkukuh pengesanan barang terlarang
KUALA LUMPUR,. Keupayaan mengesan barangan terlarang di pintu masuk negara perlu diperkukuh menerusi penggunaan teknologi pengimbas kargo lebih canggih, termasuk sistem yang mampu membezakan jenis bahan sehingga ke peringkat molekul.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata teknologi seperti diffraction wajar dipertimbangkan bagi meningkatkan ketepatan pemeriksaan, khususnya dalam membezakan bahan yang mempunyai rupa fizikal hampir sama seperti dadah dan tepung susu.
Beliau berkata pelaburan bagi menaik taraf sistem pengimbas sedia ada perlu diberi perhatian seiring perkembangan teknologi yang semakin pesat, selain mengambil kira keupayaan negara lain mengesan bahan terlarang yang mungkin terlepas daripada pemeriksaan di Malaysia.
“… apa yang kita periksa yang terlepas di sini, di Australia boleh tangkap, contohnya. Jadi kenapa sana boleh tangkap, sini tak nampak? Ini kerana kerana mereka ada mesin (teknologi) tersebut.
“Jadi apa salahnya kalau kita juga menaik taraf mesin kita… ini sesuatu yang perlu kita buat. Kita kena naik taraf sistem kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai keperluan memastikan sistem pengimbas kecerdasan buatan (AI) di terminal kargo sentiasa dikemas kini dan diuji secara berkala serta peranan pegawai pemeriksa sekiranya keputusan pengimbasan bercanggah dengan penilaian mereka.
Hasbi berkata berdasarkan pemerhatiannya ketika melawat operasi kargo Malaysia Airlines (MAS) dan Pelabuhan Klang, penggunaan teknologi AI dalam sistem pengimbasan masih memerlukan penambahbaikan, terutamanya dari segi pengumpulan data bagi meningkatkan ketepatan pengesanan.
Beliau berkata terdapat mesin pengimbas di lapangan terbang yang masing-masing telah mengumpulkan kira-kira 15,000 dan 8,000 data bagi meningkatkan kecekapan sistem AI, namun teknologi berkenaan masih belum berupaya mengenal pasti sesetengah objek dengan tepat.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pengalaman dan kompetensi pegawai pemeriksa kekal penting dalam proses pemeriksaan, terutama apabila sistem pengimbasan mengesan anomali atau objek meragukan yang memerlukan penelitian dan pemeriksaan fizikal lanjut.
Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai kemampuan semasa pengimbas AI di terminal kargo mengesan penyeludupan barangan berbahaya, Hasbi berkata sebanyak 132 daripada 184 unit mesin pengimbas kargo dan bagasi di pintu masuk utama negara dilengkapi teknologi berasaskan AI.
Beliau berkata aset dan fungsi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu sedang dipindahkan secara berperingkat kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mulai 1 Okt 2025, selaras dengan pelaksanaan Akta AKPS 2024 (Akta 860).
Hasbi berkata penggunaan AI berpotensi meningkatkan keupayaan pengesanan melalui analisis imej dan pengenalpastian objek, namun keberkesanannya bergantung kepada jenis teknologi, konfigurasi sistem, bekalan data, algoritma, ketepatan pengesanan serta kompetensi pegawai keselamatan.
— BERNAMA

