PRN tidak halang rundingan berkaitan isu 40 peratus hasil Sabah – Anwar

PRN tidak halang rundingan berkaitan isu 40 peratus hasil Sabah – Anwar

KUALA LUMPUR,. Rundingan berhubung isu 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 berlangsung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata proses rundingan itu tidak akan terjejas walaupun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Okt lepas untuk memberi laluan kepada PRN.

Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.

“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya (memulakan rundingan) telah berjalan.

“Sekarang, sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis kepada SUK Sabah mengatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk apa yang ditulis dalam penghakiman.

“Kemudian dalam Jawatankuasa Teknikal tentunya dibincangkan bahawa untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri dan tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This