
Lima stesen GSWMS beroperasi di seluruh Malaysia setakat Oktober lepas
KUALA LUMPUR,. Setakat 31 Oktober lepas, Malaysia mempunyai lima stesen Sistem Pemantauan Air Spektrum Gama (GSWMS) bagi memantau tahap radiasi dalam sumber air untuk tujuan keselamatan dan penyelidikan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata stesen terbabit terletak di Jeti Universiti Malaysia Sabah, Jeti Taman Laut Pulau Perhentian, Taman Laut Pulau Tioman, Jabatan Kastam Bukit Malut di Langkawi dan Stesen Telemetri Pelabuhan Bintulu di Sarawak.
Beliau berkata kesemua data dianalisis oleh Pusat Pengurusan Tindak Balas Nuklear Kebangsaan selain beroperasi dalam Rangkaian Pemantauan Kebangsaan.
“Sekiranya berlaku insiden pencemaran ataupun tumpahan sisa radioaktif, kerajaan telah menyediakan langkah kontigensi yang meliputi peningkatan pemantauan dan persampelan air laut, sekatan sementara aktiviti penangkapan ikan dan penggunaan hasil laut di kawasan terjejas serta menyampaikan amaran keselamatan kepada orang awam.
“Kesemua langkah ini akan dilaksanakan melalui kolaborasi rapat dengan Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Chang menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung pemantauan keradioaktifan secara masa nyata dan dari semasa ke semasa.
–BERNAMA

