Pembinaan Klinik Kesihatan Sepulot mula tahun depan

Pembinaan Klinik Kesihatan Sepulot mula tahun depan

KUALA LUMPUR,. Kerja pembinaan Klinik Kesihatan Sepulot, Nabawan di Sabah akan dimulakan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata projek itu merangkumi kerja awalan tapak pembinaan bangunan klinik kesihatan yang dilengkapi komponen pergigian, perkhidmatan X-ray, 28 unit kuarters, perolehan peralatan perubatan, sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kenderaan pacuan empat roda.

“Projek ini akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan dalam proses penyediaan borang permulaan pelaksanaan projek, Medical Brief of Requirement (MBoR), Jadual Penginapan (SOA) dan anggaran kos awalan.

“Kajian nilai juga akan dilaksanakan bagi nilai projek lebih RM70 juta untuk pengesahan skop dan kos keseluruhan,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu bilangan klinik kesihatan luar bandar yang akan dibina di Sabah pada 2026 pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Lukanisman berkata terdapat sembilan projek sambungan klinik kesihatan di Sabah dalam peringkat prapelaksanaan di Keningau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Membakut, Tawau, Tenom dan Sandakan yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This