
Lebih 1,000 hektar kebun getah terbiar berjaya dipulihkan – Rubiah
KUALA LUMPUR,. Lebih 1,000 hektar kebun getah terbiar di seluruh negara berjaya diaktifkan semula menerusi pelbagai inisiatif pemulihan yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu dilaksanakan melalui pendekatan menang-menang yang digerakkan RISDA Plantation bersama pekebun kecil, dengan menyediakan pilihan pengurusan kebun mengikut kemampuan dan kesediaan pemiliknya.
Beliau berkata menerusi pendekatan itu, RISDA Plantation akan mengambil alih operasi penorehan sekiranya pemilik kebun tidak lagi berhasrat mengusahakannya sendiri, dengan hasil pendapatan diagihkan bersama pekebun kecil terbabit.
“Bagi pilihan kedua, kita pulihkan kebun terbiar berkenaan dan diserahkan semula kepada pekebun kecil untuk diusahakan menggunakan kaedah Pengeluaran Getah Matang, lengkap dengan bantuan input pertanian seperti baja dan peralatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang bertanyakan mengenai sasaran keluasan kebun tidak ditoreh yang akan diaktifkan semula serta langkah menangani isu kekurangan tenaga penoreh.
Rubiah berkata kementerian mengenal pasti 119,851.44 hektar kebun getah tidak bertoreh melibatkan 82,488 peserta, dan usaha pemulihan sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kawasan berpotensi itu kembali menyumbang kepada pengeluaran getah negara.
Bagi menyokong usaha meningkatkan produktiviti getah, beliau berkata RISDA turut memperkenalkan perkhidmatan Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET) secara pukal dan bergerak, selain menguji sistem penorehan baharu berteknologi.
Katanya, langkah tersebut selari dengan sasaran RISDA untuk mencapai produktiviti getah pekebun kecil sebanyak 1,500 kilogram sehektar setahun menjelang 2030, sekali gus menyokong sasaran pengeluaran getah negara mencecah satu juta tan metrik setahun.
Dalam pada itu, Rubiah mengakui pengeluaran hasil getah tahunan negara sedang berdepan trend penurunan, justeru pelbagai intervensi strategik dipergiat bagi memulihkan semula pengeluaran komoditi berkenaan.
Beliau berkata pelan menyeluruh RISDA merangkumi penanaman semula pokok getah tua, pengaktifan kebun terbiar, menangani isu kekurangan penoreh serta kawalan penyakit tanaman.
“Bagi penanaman semula di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita menyasarkan 50,000 hektar penanaman baharu iaitu kira-kira 10,000 hektar setiap tahun bagi menggantikan pokok tua dengan klon berpenghasilan tinggi,” katanya.
— BERNAMA

