
Kutipan saman AWAS cecah RM304.3 bilion, dipasang di 49 lokasi – Hasbi
KUALA LUMPUR,. Jumlah kutipan saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) kini mencecah RM304,304,437,970 sejak pelaksanaannya pada 1 September 2018 hingga 30 November lepas, melibatkan 49 lokasi dipantau di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata sebahagian hasil kutipan saman AWAS itu disalurkan semula kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan, termasuk Program Zon Sekolah Selamat yang menyokong had kelajuan 30 kilometer sejam di zon sekolah.
“Kutipan saman itu turut digunakan bagi menyokong program MyLesson B2 untuk belia, termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan golongan kurang berkemampuan bagi meningkatkan kemahiran menunggang motosikal serta mengurangkan risiko kemalangan maut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu jumlah kutipan saman AWAS setakat ini sejak pelaksanaannya, serta sejauh mana hasil kutipan itu disalurkan semula bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan pendidikan pemandu.
Hasbi turut menegaskan pemasangan kamera AWAS dibuat berdasarkan kawasan kerap berlaku kemalangan dan bukan bertujuan memerangkap pemandu, sambil memaklumkan kementerian merancang menambah 10 lagi lokasi berisiko tinggi pada tahun depan.
–BERNAMA

