
KPWKM laksana program TOT mulai tahun ini perkasa latihan penjagaan negara
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan program Latihan Pengajar atau Training of Trainers (TOT) mulai tahun ini bagi memperluas kapasiti latihan dalam sektor penjagaan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh pembangunan tenaga kerja penjagaan berkemahiran sekali gus memastikan penawaran perkhidmatan lebih berkualiti kepada warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata pelaksanaan TOT akan melibatkan Institut Sosial Malaysia (ISM), sebuah agensi di bawah KPWKM dan pusat latihan penjagaan sedia ada yang berkelayakan di lokasi terpilih berdasarkan keperluan setempat.
“Pada masa sama, Kerajaan turut menyediakan insentif termasuk pengecualian cukai dua kali ke atas pemberian latihan penjaga melalui institusi yang diiktiraf oleh KPWKM bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan tenaga kerja penjagaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai langkah kerajaan menangani jurang akses, kualiti dan tenaga kerja penjagaan melalui rangka kerja Malaysia Care Economy serta pelan tindakan 2026-2030.
Selain itu, Nancy berkata kerajaan memperuntukkan RM3 juta bagi latihan penjagaan dengan sasaran melahirkan 1,700 penjaga warga emas dan OKU pada tahun ini.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian usaha mencapai sasaran 50,000 penjaga profesional menjelang 2030 selaras pelaksanaan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.
Pada masa sama, katanya kerajaan turut membangunkan Piawaian Penjagaan Nasional dengan peruntukan RM5 juta yang akan menjadi rujukan kepada latihan, pensijilan, pemantauan dan kawal selia perkhidmatan penjagaan di seluruh negara.
“Pengukuhan kapasiti dan kemahiran penjaga melalui latihan ini dijangka mengurangkan kebergantungan kepada penjaga tidak berbayar dalam kalangan keluarga serta menyokong peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60 peratus selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.
–BERNAMA

