HRD CORP KUTIP LEVI RM2.22 BILION TAHUN INI – KHAIRUL FIRDAUS

HRD CORP KUTIP LEVI RM2.22 BILION TAHUN INI – KHAIRUL FIRDAUS

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengutip levi berjumlah RM2.223 bilion tahun ini, dengan RM2.099 bilion atau 94.4 peratus daripadanya diluluskan sebagai bantuan kewangan bagi membiayai program latihan pekerja tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata levi pada kadar satu peratus itu dikenakan kepada majikan yang mempunyai 10 atau lebih pekerja tempatan bagi membiayai pembangunan modal insan, selaras dengan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612).

“Melalui kutipan levi tersebut, HRD Corp menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan geran latihan kepada majikan bagi meningkatkan kemahiran (upskilling) serta melaksanakan latih semula (reskilling) pekerja tempatan.

“Keberkesanan levi bukan sahaja diukur berdasarkan kutipan dan penggunaan dana, tetapi juga impak latihan terhadap kompetensi pekerja, produktiviti organisasi dan kebolehpasaran tenaga kerja serta keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, HRD Corp turut menyediakan pembiayaan latihan dalam sembilan bidang tumpuan termasuk Industri 4.0, teknologi masa hadapan, fintech, blockchain dan teknologi hijau bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri semasa dan masa hadapan.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata rekod Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menunjukkan hampir 5,700 Orang Asli mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dari 2021 hingga 2026.

Beliau berkata ia meliputi bidang perkhidmatan masyarakat Orang Asli, penyediaan makanan dan automotif, dengan kerjasama pusat latihan termasuk College Advanced Skills, Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills dan Yayasan Pendidikan MARA.

Katanya, kerajaan turut menyasarkan 3,600 Orang Asli mengikuti latihan menerusi inisiatif TVET Mudah Alih pada 2027 bagi memperluas akses kepada latihan kemahiran, khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata KESUMA menerusi kampus Jabatan Tenaga Manusia (JTM) turut memperluas akses latihan TVET secara inklusif kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli di

“Program TVET Inklusif MADANI turut dilaksanakan dengan menyasarkan komuniti Orang Asli bagi meningkatkan akses dan penyertaan dalam bidang latihan, dengan seramai 168 peserta Orang Asli menyertai program itu sehingga 31 Okt lalu,” katanya.

Khairul Firdaus berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET JTM mencapai 98 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, manakala 85.4 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan bidang latihan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini mempunyai 19 panel rawatan rehabilitasi di seluruh Sabah bagi menyediakan perkhidmatan pemulihan kepada golongan pekerja yang berinsurans.

Katanya, PERKESO sentiasa terbuka untuk meneliti potensi pelaksanaan model pusat rehabilitasi satelit secara berperingkat mengikut kesesuaian lokasi.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM1,938,372,900 yang diperuntukkan kepada KESUMA dalam Belanjawan 2027 dengan suara majoriti selepas dibahaskan 22 Ahli Parlimen.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This