Dua pertiga kematian jalan raya babit motosikal, kerajaan pergiat langkah intervensi – Loke

Dua pertiga kematian jalan raya babit motosikal, kerajaan pergiat langkah intervensi – Loke

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan mempergiat intervensi keselamatan jalan raya, khususnya bagi penunggang motosikal yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata berdasarkan Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya 2025 Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 6,581 kematian direkodkan tahun lepas dengan 4,542 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Cabaran utama kita bukan sekadar sebilangan kesalahan trafik tetapi bagaimana intervensi kerajaan dapat mencegah risiko kemalangan maut,” katanya semasa menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) di Dewan Rakyat hari ini.

Pang ingin tahu kadar kematian jalan raya yang masih tinggi walaupun selepas beberapa pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan serta sasaran Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam mengurangkan kadar itu menjelang 2030.

Loke berkata MOT kini memberikan tumpuan kepada beberapa faktor risiko utama termasuk pemanduan melebihi had laju, kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan serta lokasi berisiko tinggi bagi memastikan langkah pencegahan lebih berkesan.

Beliau berkata analisis data kemalangan PDRM dan kajian rekonstruksi kemalangan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut membantu mengenal pasti lokasi berisiko tinggi serta menentukan intervensi bersesuaian termasuk penambahbaikan reka bentuk jalan dan pengasingan trafik.

Beliau berkata satu daripada resolusi Kongres Keselamatan Jalan Raya yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini akan dibawa ke Kabinet bagi melaksanakan tindakan intervensi khusus untuk mengurangkan kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal.

Pendekatan itu, menurut beliau memerlukan kerjasama pelbagai pihak, khususnya dalam menangani risiko kemalangan motosikal yang menjadi penyumbang utama kepada kematian jalan raya di negara ini termasuk reka bentuk jalan raya dan laluan motosikal.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta kejadian langgar lari, Loke berkata kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bersetuju meminda Akta 333 bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh bahan tersebut yang mengakibatkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa.

“Itu satu isyarat yang cukup besar dan keras kepada mereka yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan dadah supaya lebih bertanggungjawab dan menghentikan tindakan seperti ini,” katanya.

Mengenai kejadian langgar lari, Loke berkata kerajaan menggalakkan pemasangan kamera papan pemuka bagi membantu siasatan polis dan menyediakan bukti kemalangan walaupun belum diwajibkan.

“Pemasangan dashcam banyak membantu dari segi pembuktian kepada isu kemalangan dan dapat membantu siasatan polis. Sekarang, semakin ramai memasang dashcam dan ini banyak membantu apabila berlaku kemalangan termasuk kemalangan langgar lari,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This