
BAHAS BELANJAWAN 2027, JEREBU, KESELAMATAN SEKOLAH ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT MINGGU INI
KUALA LUMPUR,. Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 menjadi tumpuan utama Dewan Rakyat pada minggu kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, selain isu semasa seperti jerebu, kesihatan, pendidikan dan keselamatan sekolah, serta kos sara hidup.
Sebanyak 75 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU Perbekalan 2027 pada peringkat dasar selama empat hari ini bermula Isnin lepas, susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt lepas.
Ketika perbahasan itu, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyambut baik peningkatan pemberian khas interim kepada kedua-dua negeri daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, namun meminta formula dimuktamadkan serta isu hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari negeri itu diperjelas.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan penubuhan tetap Petugas Khas Kebakaran Hutan dan Lahan (Karhutla) ASEAN bersama Singapura, Filipina dan Indonesia bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan, selain mencadangkan tindakan undang-undang menuntut ganti rugi sekiranya Indonesia enggan menerima bantuan berkenaan.
Isu kebajikan turut mendapat perhatian apabila Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) menggesa kerajaan menyegerakan penyelesaian pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula menegaskan bahawa isu keselamatan dan gejala buli di sekolah tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya mencadangkan peruntukan khas melatih guru mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dan potensi keganasan dalam kalangan murid, manakala setiap sekolah dilengkapi dengan kaunselor mencukupi serta program penilaian psikologi berstruktur bagi intervensi awal.
Ketika sesi soal jawab lisan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perolehan 400 ambulans baharu dapat meningkatkan keupayaan respons kecemasan kes kritikal, manakala pihaknya turut menambah peralatan perubatan bagi menghadapi kesan jerebu, termasuk 841 unit alat bantuan pernafasan aerochamber dewasa, 396 unit untuk kanak-kanak dan 576 unit nebulizer.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan menerusi perancangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi, selain memperluas industri pertumbuhan dan nilai tinggi serta sektor strategik.
Beliau berkata kerajaan juga akan terus menstabilkan harga barangan keperluan menerusi penguatkuasaan undang-undang, Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sebanyak 1,726 projek perumahan swasta membabitkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar RM158 bilion berjaya dipulihkan hingga Ogos lepas menerusi usaha Task Force Projek Perumahan Sakit Swasta dan Terbengkalai.
Dalam sektor pertanian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan akan meneliti bantuan bersasar kepada pesawah yang mengalami kemerosotan hasil akibat kelewatan bekalan baja bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar mengalami kerugian.
Sementara itu, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa, yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri untuk menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli-Ahli Parlimen, dijawab oleh menteri-menteri berkaitan kerana Perdana Menteri ke Istana Negara.
Pada sesi Kamar Khas, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lepas dijangka beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua minggu berikutan perubahan corak angin ketika fasa peralihan monsun.
Dewan Rakyat pada Rabu turut meluluskan pelantikan empat Ahli Parlimen – Ramkarpal, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sebagai anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen – menerusi undian suara tanpa perbahasan.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Pengangkatan (Pindaan) 2026 pada Khamis, yang antara lain mencadangkan pindaan Seksyen 2 Akta 257 itu berhubung takrif “anak” dengan menurunkan had usia daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Berdasarkan takwim, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12-22 Okt, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.
— BERNAMA

