90 peratus program pembangunan sosioekonomi KKDW capai KPI: Rubiah

90 peratus program pembangunan sosioekonomi KKDW capai KPI: Rubiah

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 90 peratus program pembangunan sosioekonomi, peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata kejayaan itu dinilai melalui peningkatan pendapatan peserta sekurang-kurangnya 10 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan sehingga enam bulan selepas program tamat.

Beliau berkata usaha itu turut dilaksanakan menerusi latihan kemahiran asas seperti masakan dan teknikal, selain pemberian barangan serta modal perniagaan menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian.

“Fokus kita bukan sahaja melahirkan kawasan penempatan kehidupan yang sejahtera dan berkualiti tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Rubiah menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kaedah KKDW mengukur peningkatan pendapatan isi rumah, pertambahan usahawan serta peluang pekerjaan di pekan-pekan kecil luar bandar.

Menjawab soalan asal Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai perancangan pembangunan Pekan Kampung Gajah sebagai pusat ekonomi setempat, Rubiah berkata KKDW memperuntukkan RM250,000 bagi program komuniti di seluruh Perak sejak 2023 hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, beliau berkata sebanyak RM60,000 disalurkan khusus ke Pusat Komuniti Desa (PKD) Pasir Salak di Kampung Gajah yang merekodkan 93 program melibatkan 1,015 peserta.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This