‘YB, kita buka buku baharu’

‘YB, kita buka buku baharu’

KUALA LUMPUR,. Selepas 25 hari bersidang, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berakhir semalam dengan pesanan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya semua Ahli Parlimen membuka ‘buku baharu’ menjelang sidang akan datang.

Selain itu, katanya, semua Ahli Parlimen juga perlu mengubah sikap dan kelakuan sesuai dengan status ‘Yang Berhormat’, terutama menjelang persidangan seterusnya pada November ini.

Justeru, beliau mengingatkan peraturan mesyuarat perlu menjadi panduan 222 Ahli Parlimen, bukan sekadar dibaca, sebaliknya dihayati secara keseluruhannya.

“Marilah kita adakan persidangan dalam dewan ini dengan harmoni. Kualiti perbahasan yang baik, kupas isu berkenaan usul supaya kita manfaatkan masa di sini.

“Ramai kata tak cukup masa berbahas, tetapi saya rasa ia cukup, cuma tak gunakan dengan sewajarnya.

“(Peraturan 23 (1)(j)) banyak kali juga saya dengar perkara yang lain mengenai sifat yang bukan sifat dalam jawatan dikeluarkan dan dibahaskan. Bukan sekali, tapi banyak kali dan apabila ditegur, ditarik balik, tetapi dibuat semula macam sengaja,” katanya selepas penggulungan usul menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Peraturan 23(1)(c) sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah sangkaan, fikiran, tohmah, puji atau keji, atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati, atau mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Peraturan 23(1)(j) menyatakan, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan sifat atau kelakuan siapa-siapa, melainkan sifat dan kelakuannya dalam menjalankan urusan jawatannya atau urusan pekerjaan berkhidmat kepada negeri.

Belum sempat Azhar selesai memberi petua nasihat, beberapa Ahli Parlimen bangun mencelah termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang secara berseloroh, berkata: “Itu ‘skill’ kami.”

Azhar kemudian menjawab: “Kalau saya hukum, itu pun skill juga.”

Antara Ahli Parlimen lain yang turut bangun mencelah ucapan beliau ialah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

“Kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) menuduh antara satu sama lain siapa yang bersalah. Siapa makan cili dialah terasa pedas. Saya ingin menasihatkan kalau boleh bukan sahaja membaca Peraturan Mesyuarat, malah menghayatinya,” katanya.

Berikutan penularan COVID-19, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat hanya bersidang sehari pada 18 Mei lalu dengan pembukaan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malah, sidang kali ini juga berlangsung dengan pematuhan kepada norma baharu apabila tempat duduk Ahli Parlimen diasingkan dengan penghadang lut sinar, manakala sebahagian yang lain ditempatkan di galeri awam dan tempat duduk pegawai.

Pergerakan petugas media juga terbatas dengan hanya dibenarkan berada di bilik media dan tidak boleh menemubual Ahli Parlimen atau menteri di ruang lobi, manakala pelawat tidak dibenarkan masuk.

Sidang kali ini dipenuhi drama dan kontroversi kerana pelbagai sebab berikutan pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir selama 22 bulan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Mac lalu.

Hari pertama Mesyuarat Kedua pada 13 Julai lalu menyaksikan kekecohan ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengusulkan pertukaran Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, kepada Azhar mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pertukaran turut membabitkan seorang Timbalan Speaker, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang digantikan dengan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), manakala seorang lagi Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon (BERSATU-Batu Pahat) dikekalkan.

Usul pengosongan jawatan Speaker mencetuskan kekecohan apabila blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membantah kerana mendakwa kerajaan tidak ada alasan munasabah untuk berbuat demikian, selain ia tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara.

Dewan juga gamat ketika usul pengosongan jawatan Speaker dibentangkan Perdana Menteri yang menyaksikan keputusan undi belah bahagi 111 menyokong dan 109 menolak.

Dalam kegamatan itu, Azhar disahkan Speaker tanpa undian kerana hanya seorang calon dikemukakan ketika itu.

Kerajaan dan Speaker baharu, tetapi perjalanan sidang sepanjang 25 hari menyaksikan ‘perangai lama’ sebahagian Ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang yang menimbulkan kekecohan walaupun Azhar dan dua timbalannya dilihat mampu mengawal keadaan serta amat tegas membenarkan masa pencelahan atau perbahasan.

Perkataan merujuk kepada kaum dan menghina antaranya ‘gelap, pakai bedak, pencuri, perompak dan bodoh’ masih kedengaran terutama ketika Ahli Parlimen bertikam lidah dan tuduh-menuduh.

Ia berlaku selepas Azhar pada 21 Julai lalu memaklumkan semua parti termasuk Ahli Parlimen Bebas memberikan komitmen tidak lagi menggunakan perkataan berunsur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan.

Malah, tidak sampai sejam Azhar menduduki kerusi Speaker pada 13 Julai, Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) diarah keluar dewan kerana mengganggu ucapan sulungnya.

Ini diikuti Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang dikenakan tindakan sama pada 24 Ogos kerana sengaja menimbulkan kekecohan.

Drama tuduh-menuduh antara blok kerajaan dan pembangkang yang paling hangat ialah berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH) yang membawa kepada perdebatan di luar dewan dianjurkan pihak ketiga antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) dan bekas Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim (BN-Baling).

Tumpuan utama sidang kali ini ialah perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penularan COVID-19, iaitu RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang diluluskan sebulat suara.

Bagaimanapun, RUU Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 meningkatkan suhu perbahasan apabila pembangkang mempertikaikan sebahagian peruntukan disifatkan tidak perlu kerana ia membabitkan pertambahan kementerian, menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian.

Ia diluluskan secara undi belah bahagi, iaitu 111 menyokong dan 106 menolak daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir hari itu.

Kerajaan juga menarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang sebelum ini dibantah sebahagian anggota dan pegawai polis serta digantikan dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020.

Bagaimanapun, semalam, kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua IPCC 2020 ke sidang pada November ini, walaupun pada awalnya dijadual dibahas dan diluluskan.

Rentetan bahang perdebatan yang dirasakan tidak manis atau boleh menyebabkan mereka bermasam muka selepas ini, Abdul Azeez mengambil kesempatan meminta maaf atas kekasaran sikap dan bahasa sepanjang sidang yang panas.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )