Xinghe selesaikan pengambilalihan akuakultur bernilai RM100 juta
KUALA LUMPUR,. Xinghe Holdings Bhd, yang bergantung kepada perniagaan minyak sayuran yang boleh dimakan di China, sedang beralih untuk menjadi pengeluar makanan berasaskan akuakultur berikutan pengambilalihan ladang udang termasuk kemudahan dan aset-aset yang berkaitan di Tawau hari ini.
Syarikat yang tersenarai di pasaran ACE itu berkata, subsidiari milik penuhnya, XW Aquaculture Sdn Bhd telah menyelesaikan transaksi bernilai RM100 juta dengan vendor, Pegagau Aquaculture Sdn Bhd.
“Kami amat gembira selepas kedua-dua pengambilalihan diselesaikan, hampir satu tahun sejak kami mengumumkan rancangan itu. Kejayaan hari ini menandakan usaha perniagaan pertama di luar China dan kami teruja dengan rancangan yang akan datang,” kata Pengerusi Xinghe, Ng Min Lin dalam satu kenyataan hari ini.
“Pada masa akan datang, kami mungkin akan meninjau ke dalam perniagaan peruncitan makanan laut beku, yang belum berkembang luas di sini kerana ia mampu memberi kami margin yang baik,” kata beliau.
Perjanjian jual beli telah diselesaikan pada hari ini membabitkan sebidang tanah seluas 97.9 hektar di Tawau bernilai RM12.5 juta, dan semua kolam, pemulihan tanah, bangunan, loji dan peralatan mesin, kenderaan bermotor, ternakan dan barangan kegunaan pada harga sebanyak RM87.5 juta.
Menurut Ng lagi, aset ladang itu mampu membiakkan sejumlah 2,000 tan udang jenis ‘whiteleg’ atau udang Raja pada setiap tahun.
Udang air laut ini biasanya dieksport dalam pek beku kepada pengedar di Korea Selatan, Vietnam dan China.
Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai perdagangan komoditi, Korea Selatan, Vietnam dan China merupakan destinasi eksport produk udang utama bagi Malaysia pada 2017.
Ng berkata, perniagaan semasa Xinghe sebagai pengeluar minyak makan telah terjejas oleh kempen China terhadap pencemaran alam sekitar kawasan utara China.
“Usaha baharu ini akan mengurangkan kebergantungan syarikat ke atas perniagaan sedia ada dan mengukuhkan lagi prestasi kewangannya melalui perniagaan baharu di Malaysia.
“Pengambilalihan ini akan meningkatkan nilai Xinghe dalam jangka masa panjang,” katanya.
— BERNAMA