WKB bagi atasi kegagalan DEB, Wawasan 2020 – Dr Mahathir

WKB bagi atasi kegagalan DEB, Wawasan 2020 – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata segala kesalahan dulu yang mendorong kepada kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020 akan dihapuskan dengan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB).

Perdana Menteri berkata, menerusi dasar baharu itu, kerajaan akan memastikan mereka yang mendapat peluang akan berupaya menggunakannya dengan sepenuhnya.

“Ahli Yang Berhormat menyebutkan kesalahan yang dilakukan dulu menyebabkan gagalnya dasar dan wawasan yang dicipta pada masa itu. Saya ingin menekankan bahawa segala kesalahan ini akan dihapuskan apabila kita melaksanakan WKB.

“Kita hanya minta kesanggupan rakyat menerima dasar ini dan bukan lagi mendapat kekayaan mudah dengan segera, sebaliknya kekayaan lebih mapan sepanjang masa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-PKR Setiawangsa) mengenai bagaimana pendekatan WKB dapat mengatasi kekurangan yang ada dalam dasar terdahulu seperti membolot harta dan salah guna serta kerosakan terhadap institusi Bumiputera.

Dr Mahathir berkata, WKB akan memastikan peluang yang diberikan kepada rakyat mencapai hasil seperti yang ditentukan. “Jika dulu, kerajaan tumpu kepada peningkatan bilangan peluang berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang untuk Bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

“Kini, aspek keberhasilan pencapaian berdasarkan prinsip kesaksamaan keberhasilan kepada Bumiputera turut diberi penekanan dalam WKB di mana peluang akan diberikan kepada Bumiputera yang membuktikan kelayakan dan kemampuan mereka.

“Bagi yang masih belum layak dan mampu pula, bantuan, latihan serta sokongan sewajarnya akan diberikan bagi meningkatkan peluang kejayaan mereka. Inilah cara kita menguruskan WKB,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan, menerusi wawasan itu, kerajaan berhasrat melahirkan generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral integriti, bersikap rajin berusaha dan bermaruah serta bersemangat kental nasionalis yang ingin menyelamatkan negara, tanpa bergantung kepada orang asing.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )