Wisma Putra lancar kempen ‘Unite for Palestin’

Wisma Putra lancar kempen ‘Unite for Palestin’

KUALA LUMPUR,. Wisma Putra hari ini melancarkan kempen ‘Unite for Palestin’ dengan membuka kaunter khas di lobi Bangunan Parlimen hingga 6 Ogos depan.

Pembukaan kaunter itu sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Palestin serta meningkatkan kesedaran mengenai isu yang berlaku di negara itu kepada kalangan Ahli Parlimen.

Ia turut mengetengahkan peranan dan langkah Kerajaan Malaysia memperjuangkan isu Palestin melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata Malaysia turut menyatakan pendirian menolak sekeras-kerasnya tindakan dan ancaman Israel untuk mengilhak kawasan Tebing Barat, Palestin.

Malaysia konsisten untuk terus bersuara di platform antarabangsa termasuk di PBB dan OIC dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, khususnya dalam menentang penempatan haram Israel di wilayah jajahan Palestin, melalui resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada 2016.

Rancangan Israel untuk mengilhak tanah Palestin dikritik keras negara anggota PBB termasuk OIC dan NAM. Hingga kini, Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan PBB, termasuk Resolusi 2334.

Pelancaran kempen itu disempurnakan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Hadir sama timbalannya Datuk Kamarudin Jaffar dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Antara yang hadir menyatakan sokongan kepada kempen itu ialah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )