Wee Ka Siong: Malaysia Perlu Bersedia Hadapi Risiko Berganda, Tangguh Kenaikan Cukai & SST
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, memberi amaran bahawa Malaysia kini sedang dihimpit dari dua arah akibat krisis tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat, dan menyeru kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar fiskal yang boleh menjejaskan perniagaan kecil dan industri eksport negara.
“Malaysia berisiko dihentam dari depan oleh tarif AS dan dari belakang apabila rantaian dagangan dengan China terganggu. Kita terperangkap di tengah-tengah,” katanya dalam sesi perbahasan khas di Dewan Rakyat.
Eksport Malaysia Tergugat, Industri Elektronik & Solar Terjejas
Wee menekankan bahawa sekitar 10% KDNK Malaysia bergantung kepada eksport terus ke Amerika, dan lebih 60% daripadanya terdiri daripada produk elektronik dan peralatan industri. Malaysia, katanya, adalah sebahagian penting dalam rantaian bekalan global — terutamanya komponen separuh siap yang digunakan di China untuk dihantar ke AS.
“Jika pintu AS ditutup kepada produk akhir dari China, komponen dari Malaysia juga tidak lagi diperlukan,” katanya, merujuk kepada kemungkinan kejatuhan eksport tidak langsung yang boleh membawa impak besar kepada industri semikonduktor, logam dan kimia.
Beliau turut menyebut peningkatan import solar panel dari Asia Tenggara ke AS sebanyak 3,521% telah mencetuskan kebimbangan pelaburan langsung asing (FDI) akan terjejas teruk.
Cabaran Data Tarif: “Trump Kata 47%, Tapi MITI Kata 5.6%”
Wee juga mempersoalkan percanggahan antara dakwaan AS yang menyatakan Malaysia mengenakan tarif 47% ke atas produk mereka, dan kenyataan rasmi Kementerian MITI bahawa kadar sebenar hanya 5.6%.
“Adakah ini kesilapan metodologi atau ada faktor bukan tarif lain? Ini kita perlu siasat,” katanya sambil menyeru ketelusan penuh dalam rundingan dua hala.
Gesa Tangguh SST, Rasionalisasi Subsidi & e-Invois
Wee mendesak kerajaan menangguhkan:
• Peluasan skop cukai jualan (SST)
• Rasionalisasi subsidi petrol dan elektrik
• Pelaksanaan e-invoicing kepada PMKS berpendapatan tahunan bawah RM500,000
“Kalau tarif AS dikuatkuasa penuh pada 9 Julai dan dalam masa sama SST diperluas, subsidi ditarik balik, PMKS akan gulung tikar,” katanya sambil menyarankan kerajaan beri ruang bernafas kepada peniaga kecil.
Desak Resolusi Parlimen Demi Solidariti Nasional
Mengakhiri ucapannya, beliau mencadangkan agar satu resolusi Parlimen khas dibentangkan untuk menyatakan pendirian bersama tanpa mengira blok politik — sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu Palestin.
“Kita perlu sokong penuh rundingan kerajaan, tetapi perlu ada resolusi yang membawa suara Parlimen secara rasmi ke peringkat antarabangsa,” katanya.
-ParliaMentNews