
VAMS dijangka beroperasi di Terminal 2 KLIA menjelang akhir suku pertama 2026
KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) akan dilaksanakan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang akhir suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah (gambar) berkata sejak pelaksanaannya pada 1 Disember lepas di Terminal KLIA 1, VAMS menunjukkan penambahbaikan ketara khususnya dalam mengurangkan kadar pelanggaran had masa berhenti di luar lapangan terbang, sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik.
“Statistik hingga 20 Januari ini menunjukkan penurunan purata masa menunggu dari 2.99 minit kepada 2.75 minit di aras pelepasan, dan dari 8.91 minit ke 2.65 minit di aras ketibaan.
“Pelanggaran had masa berhenti juga berkurang dari 11.7 peratus ke 0.5 peratus di pelepasan dan dari 18.8 peratus ke 1.4 peratus di aras ketibaan,” katanya menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai langkah kementerian tersebut bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di kedua-dua terminal berkenaan.
Selain itu, beliau berkata buat masa ini penguatkuasaan kawalan lalu lintas di Terminal 2 dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandukan Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melaksanakan penguncian tayar kenderaan sebagai langkah tambahan bagi mengurangkan kesesakan.
Hasbi berkata VAMS di Terminal 1 KLIA menetapkan had 10 minit bagi kenderaan di laluan luar untuk menurunkan atau mengambil penumpang dengan penalti dikenakan jika melebihi tempoh.
Beliau berkata kadar penalti bermula RM10 hingga RM40 mengikut tempoh masa, manakala kenderaan yang menunggu lebih 30 minit akan dikenakan penalti terkumpul RM100 dan jika enggan beredar atau kenderaan ditinggalkan, tindakan tunda dikenakan dengan caj RM200 serta caj penyimpanan RM30 sehari.
Beliau berkata isu kesesakan di hadapan laluan utama pintu masuk Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menjadi antara cabaran utama semenjak pembukaan kedua-dua terminal itu berpunca daripada penggunaan melebihi tempoh masa dibenarkan serta kenderaan awam ditinggalkan tanpa pengawasan.
–BERNAMA

