Usul Titah Diraja lulus, peletakan jawatan Tengku Zafrul ‘warnai’ Dewan Rakyat

Usul Titah Diraja lulus, peletakan jawatan Tengku Zafrul ‘warnai’ Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat berakhir dengan kelulusan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Usul itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 27 kementerian selesai menggulung perbahasan usul itu yang bermula Isnin, dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri semalam.

Pelbagai isu yang dibangkitkan 110 Ahli Parlimen pada sesi perbahasan usul itu dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dalam masa empat hari sesi penggulungan.

Setiap soalan rata-ratanya berkaitan kepentingan di kawasan masing-masing serta isu-isu nasional antaranya tuntutan waris Kesultanan Sulu, impak konflik Rusia-Ukraine, minyak masak bersubsidi, memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia membabitkan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan kebanyakan jawapan diterima dengan baik.

Bagaimanapun, persidangan sedikit kecoh ketika sesi penggulungan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique pada Rabu sehingga menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memutuskan untuk menangguhkan persidangan selama lima minit.

Kekecohan itu tercetus apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan jawapan Halimah berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Isu yang mencetuskan kekecohan itu turut menyebabkan Ahli Parlimen Batu Gajah Sivakumar Varatharaju Naidu diarah keluar dewan untuk tempoh 10 minit.

Menjelaskan isu dana MITRA itu, Halimah berkata semua persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen tidak akan dijelaskan dalam taklimat PTMI yang dijadual pada 22 Mac ini, sebaliknya ia akan dijelaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik siasatan selesai.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA sejak 2019 hingga 2021.

Ini susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan MITRA.

Persidangan minggu ini turut menyaksikan lima rang undang-undang (RUU) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat iaitu RUU Racun (Pindaan) 2022 serta empat RUU di bawah Kementerian Kewangan iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2021/2022), RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2022, RUU Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan (Pindaan) 2022 dan RUU Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (Pindaan) 2022.

Turut menarik perhatian adalah khabar angin peletakan jawatan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti dilaporkan sebuah media tempatan, susulan ketidakhadirannya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dan pembentangan empat RUU di bawah kementerian itu untuk bacaan kali pertama di Parlimen semalam.

Susulan laporan media itu, Tengku Zafrul tampil menafikan khabar angin itu dan menyifatkan laporan tersebut sebagai palsu kerana beliau mempunyai urusan kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pagi semalam.

Isu berkenaan timbul apabila Tengku Zafrul digantikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah bagi membentangkan empat RUU di bawah kementerian itu semalam.

Mengenai ketidakhadiran beliau di Parlimen pada sesi MQT, Tengku Zafrul menjelaskan mengikut prosedur operasi standard MQT, hanya menteri yang boleh memberikan jawapan dan menurutnya, ini bukan kali pertama seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain.

“Terima kasih Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad) kerana membacakan jawapan saya. Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada Ahli Parlimen Padang Serai, Tumpat dan Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku,” kata Tengku Zafrul.

Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan usul-usul dan sembilan RUU untuk bacaan kali kedua antaranya RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, RUU Antigangguan Seksual 2021, RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )