Usul bahas Ordinan Darurat boleh dibawa ke sidang Parlimen September – PM
KUALA LUMPUR,. Suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen bulan hadapan yang diharap dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan itu secara harmoni dan berperlembagaan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Usul ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya.
Muhyiddin berkata pembatalan ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit berikutan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos dan ini berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah dimaklumkan bahawa proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan,” katanya.
— Bernama