
Unit MICAC diperluas ke semua kontinjen polis negeri
KUALA LUMPUR,. Unit Siasatan Jenayah Siber Terhadap Kanak-kanak (MICAC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diperluas ke setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara, dengan setiap kontinjen menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai penyiasat khas bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata peluasan unit berkenaan dilaksanakan susulan komitmen kerajaan dalam menangani jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian yang kian meningkat.
“Kementarian Dalam Negeri (KDN) juga sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan hukuman dan menutup sebarang kelompangan dalam perundangan berkaitan dengan bahan lucah kanak-kanak, terutama melalui medium digital yang semakin berkembang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkenaan dengan rancangan kementerian untuk menubuhkan unit-unit khas di setiap negeri bagi menangani jenayah siber visual kanak-kanak.
–BERNAMA

