Transformasi Parlimen: Malaysia sedia pelajari daripada India
KUALA LUMPUR,. Parlimen Malaysia bersedia mempelajari beberapa perkara daripada Lok Sabha (Dewan Rakyat India) dalam merealisasikan agenda Transformasi Parlimen memandangkan negara itu merupakan antara yang terawal melakukannya.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara itu dizahirkan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim semasa menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia B. N. Reddy, di Parlimen di sini semalam.
“Selain bertukar-tukar pandangan berkenaan kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai sektor utama seperti ekonomi dan diplomasi budaya, pertemuan itu turut menyentuh hubungan yang boleh dimainkan India di peringkat multilateral antara India dan ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Malaysia dan India telah menjalin hubungan dua hala sejak 1957 dengan pembukaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sebelum berkembang dan menjadi rapat pada 1960-an melalui hubungan persahabatan antara Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri India ketika itu Jawaharlal Nehru.
Dalam pertemuan berkenaan Rais juga menyanjung tinggi seni budaya negara itu dan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada lagenda, penari dan koreografer tarian klasik India di Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim dengan pengurniaan Padma Shri iaitu anugerah keempat tertinggi India semasa Anugerah Akademi Sangeet Natak pada 2018.
Beliau berharap agar seni dan budaya India terus berkembang dan menjadi antara elemen perpaduan dalam meraikan kepelbagaian kaum di negara ini.
Turut hadir dalam majlis kunjungan berkenaan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Subhashini Narayanan.
— Bernama