Tourism Malaysia lancar lawatan suai kenal ke Pulau Tuba

Tourism Malaysia lancar lawatan suai kenal ke Pulau Tuba

LANGKAWI,. Tourism Malaysia (TM) Wilayah Utara melancarkan lawatan suai kenal ‘Pulau Tuba Eco Expedition 2019′ baru-bru ini bertujuan mempromosi Pulau Tuba sebagai sebuah lagi lokasi ekopelancongan.

Pengarahnya, Ahmad Husni Ahmad Basri berkata lawatan itu juga bagi meninjau sama ada penduduk di pulau itu bersedia menerima kehadiran pelancong ke tempat mereka.

“Kali ini kita membawa 30 orang terdiri daripada pengamal media dan wakil daripada agensi pelancongan yang dibawa khas dari Kuala Lumpur Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk membuat liputan dan mewujudkan pakej pelancongan ke Pulau Tuba.

“Pulau Tuba kurang dikenali ramai kalau nak dibandingkan dengan Pulau Langkawi namun ia kaya dengan keindahan alam semulajadi. Lokasi ini masih belum diusik dan sangat sesuai untuk dijadikan lokasi ekopelancongan ditambah pula dengan aktiviti yang disediakan di sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Tuba pada Rabu.

Menurutnya, penghuni Pulau Tuba asalnya bergantung kepada pekerjaan sebagai pekebun, nelayan, mengusahakan bot tambang dan menjual hasil laut namun kini mereka sebahagiannya mula beralih kepada sektor pelancongan.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata pelbagai jenis tempat penginapan disediakan untuk pelancong yang ingin bermalam di pulau itu termasuk inap desa, chalet mahupun resort yang mampu menampung 700 pelancong pada satu-satu masa.

“Apabila ke Pulau Tuba, para pelancong akan dapat merasai cara hidup dan aktiviti orang kampung yang terkini mahupun aktiviti orang dahulu seperti upacara memanggil yat yat dan kubong. Pelancong juga boleh berkayak, memancing, belajar membuat kuih tradisional dan banyak lagi,” katanya.

Pelancong yang berminat melancong ke Pulau Tuba boleh menggunakan perkhidmatan bot di Jeti Dato’ Syed Omar yang mengambil masa perjalanan 10 minit sebelum tiba di Jeti Pulau Tuba di sini.

Pada program itu, Ahmad Husni turut menyerahkan pelekat Tahun Melawat Malaysia 2020 kepada Pembantu Operasi Ferryline Venture Kuala Perlis, Che Mohd Saifulden Che Lah untuk dilekatkan pada cermin feri sebagai satu usaha promosi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )