Tindas warga Islam Xinjiang: ‘Panorama’ dedah bukti, China tegas nafi

Tindas warga Islam Xinjiang: ‘Panorama’ dedah bukti, China tegas nafi

LONDON,/BBC,. Sedikit demi sedikit bukti bertambah hingga mendedahkan kepada dunia luar bagaimana rakyat Islam kalangan etnik Uighur di wilayah Xinjiang dipaksa mengubah pemikiran dan pegangan agama.

Terkini, rancangan Panorama terbitan Badan Penyiaran British (British Broadcasting Corporation – BBC) mendedahkan himpunan dokumen rahsia yang dirujuk sebagai ‘The China Cables’. Ia memberi gambaran tentang apa berlaku di belakang tembok kem tahanan yang dibina bagi menahan, mengawal dan mencorak gaya hidup dan pemikiran etnik Uighur agar meninggalkan Islam.

Dokumen itu diperoleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists – ICIJ) yang dikongsi bersama BBC dan 15 rakan media termasuk akhbar United Kingdom, The Guardian.

Satu panel pakar bebas yang menjalankan siasatan yakin kesahihan dokumen ‘The China Papers’ manakala China mendakwanya sebagai rekaan dan palsu.
Mengikut ICIJ, pendedahan ‘The China Papers’ konsisten dengan bukti yang semakin kukuh bahawa China menekan etnik Uighur dengan menempatkan mereka dalam kem tahanan secara paksa, penuh berahsia dan menggunakan pelbagai cara psikologi bagi mengubah ideologi melalui transformasi pemikiran.

Bila laporan pertama isu penindasan terhadap etnik Uighur ini timbul, China dengan tegas membuat penafian.

Namun, bukti dikumpulkan dari ahli keluarga tahanan yang kini menjadi pelarian menerima suaka politik.

Apabila gambar dari satelit jelas menunjukkan kewujudan kem tahanan yang mampu dikesan dari angkasa lepas, China terpaksa ubah penafian tetapi berhelah kononnya kem dibina bertujuan menjalankan latihan kemahiran kepada warga Uighur.

Dokumen yang ditandatangani Timbalan Ketua Parti Komunis wilayah Xinjiang Zhu Hailun mengandungi arahan terperinci tentang operasi dan pentadbiran kem tahanan itu termasuk:

– Kem perlu mengenakan peraturan ketat untuk mengawal pergerakan fizikal dan mencorak pemikiran mental tahanan yang ditempatkan dalam tempat tinggal berbentuk ‘dormitori’ bertingkat, lengkap dengan koridor, lantai dan banguan terasing. Pagar perlu didirikan di keliling setiap bangunan, selain tembok dibina keliling kawasan lapang. Stesen polis khas perlu diwujudkan di pintu masuk yang diawasi pengawal yang jelas kelihatan di menara kawalan.

– Penghuni perlu menjalani ‘kursus’ paling kurang sepanjang satu tahun namun berkemungkinan akan ditahan secara berterusan tanpa tempoh.

– Penghuni akan dinilai melalui kutipan mata yang dikurnia berdasarkan transformasi ideologi, disiplin dan kesungguhan menjalani latihan.

– Setelah ‘tamat kursus’, penghuni tidak ‘dibebaskan’. Mereka perlu menjalani ‘latihan kemahiran’ untuk jangka masa tiga hingga enam bulan lagi.

– Perhubungan dengan dunia luar hanya dibenarkan melalui panggilan telefon dengan saudara mara seminggu sekali, yang akan ditarik balik jika perlu, sebagai hukuman atas pelbagai kesalahan.

– Langkah kawalan ketat perlu bertujuan mencegah segala usaha menyelinap keluar. Ini perlu dilakukan dengan meletakkan kamera litar tertutup tanpa kewujudan sebarang titik buta.

– Bagi menangani sebarang laporan penderaan, rogol atau salah laku, Zhu mengarahkan kakitangan tidak bertindak hingga menyebabkan kematian yang menimbulkan sebarang keraguan.
Kehadiran China dengan usaha asimilasi di Xinjiang timbul ekoran peristiwa rusuhan pada 2009 di mana bantahan kaum Uighur terhadap penghijrahan kaum Han semakin meningkat.

Usaha ‘penjajahan’ kaum dan dominasi Han di Urumqi, ibu negara wilayah Xinjiang menyuburkan semangat bantahan dan radikalisasi hingga ada dalam kalangan penduduk tempatan berhijrah untuk membantu kumpulan pengganas agama di Iraq dan Syria.

Pendedahan terkini termasuklah mengenai penahanan lebih 24,000 warga Uighur pada 2017 dari empat wilayah selatan Xinjiang, dengan kira-kira dua pertiga dari kumpulan ini, iaitu lebih 15,000 orang telah disumbat dalam kem pemulihan (re-education camp), manakala lebih 700 dikenakan hukuman jel.

Selebihnya – lebih 2,000 diletakkan dalam pengawasan dan lebih 5,000 bakal disumbat dalam kem pemulihan.

Lebih membimbangkan, pihak berkuasa turut bercadang mahu memantau aktiviti dan perbualan yang menggunakan pelbagai aplikasi media sosial. Lebih 40,000 pengguna yang dipantau disifatkan sebagai pengguna yang menunjukkan ciri-ciri yang dianggap berbahaya kepada kesejahteraan awam.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )