Tiada sebab untuk kerajaan kembalikan GST

Tiada sebab untuk kerajaan kembalikan GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak ada sebab untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ditolak rakyat sebelum ini. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pelaksanaan GST yang diperkenalkan kerajaan terdahulu didapati membebankan orang ramai dan pembayar cukai terutama akibat daripada kelewatan dalam mendapatkan bayaran balik kredit cukai input yang menjadi kos kepada perniagaan.

Beliau berkata, cadangan supaya GST dilaksanakan semula memerlukan kajian yang lebih lanjut. “Penelitian perlu dibuat terutama ke atas impak kesan kenaikan harga kepada pengguna, kadar inflasi dan pertambahan kos pematuhan kepada peniaga kerana terdapat keperluan untuk mengubah sistem perkomputeran dan latihan semula kepada kakitangan, selain bayaran balik cukai.

“Selain itu, perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik (kepada kerajaan),” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan hala tuju kerajaan mengenai GST berikutan terdapat mereka yang menyokong cadangan ia dilaksanakan semula dan ada juga yang menolaknya, selepas kenyataan Perdana Menteri pada 3 Oktober lalu bahawa kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula sistem percukaian itu.

Perdana Menteri berkata, berikutan rintihan rakyat akibat pelaksanaan GST yang menyebabkan mereka dikenakan cukai dua kali, kerajaan memperkenalkan semula Cukai Jualan Dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST.

Katanya, pelaksanaan SST kini berjalan dengan baik dan kerajaan pada masa ini sedang menjalankan proses penambahbaikan bagi memantapkan lagi pelaksanaan SST.

“Saya yakin apabila diuruskan dengan baik, pada tahun akan datang, hasil SST akan lebih daripada GST,” katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )