Tiada kesalahan jenayah dalam kes Hakim Nazlan

Tiada kesalahan jenayah dalam kes Hakim Nazlan

KUALA LUMPUR,. Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang sebelum ini dikaitkan dengan kes rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu juga dipersetujui Jabatan Peguam Negara.

“SPRM setelah mendapat laporan membuka kes atau kertas siasatan terhadap Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Hakim Mahkamah Rayuan) berhubung dengan kes rasuah.

“SPRM menyiasat dengan teliti perkara tersebut dan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan dan perkara ini dipersetujui Jabatan Peguam Negara,” kata beliau pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas mengenai status siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung tohmahan rasuah dan percanggahan isu konflik kepentingan dikatakan wujud di pihak hakim berkenaan ketika mengendalikan perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Berhubung konflik kepentingan, Anwar berkata isu yang sama diputuskan Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan atau keterangan baharu.

“Dengan kata lain, isu konflik kepentingan diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi negara, sementara itu pada 9 Ogos 2022 pihak defendan menarik balik dakwaan ke atas hakim Nazlan.

“Alasan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah relevan kerana memuktamadkan kes ini, bahawa sumber wang yang dikatakan diselewengkan daripada SRC International Sdn Bhd tidak relevan bagi tujuan pembuktian pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata elemen penting untuk dibuktikan bagi pertuduhan tersebut adalah sama ada tertuduh mempunyai dominasi terhadap dana yang diselewengkan.

“Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada kaitan pekerjaan terdahulu hakim Nazlan di Maybank dengan pertuduhan tersebut. Sumber dana yang diselewengkan itu tidak releven juga diakui peguam defenden.

“Jika sumber wang sedemikian tidak relevan maka peranan atau pekerjaan hakim Nazlan di Maybank juga adalah tidak releven. Demikian keputusan Mahkamah Persekutuan dan kerajaan memperakui keputusan makhamah tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Mohd Nazlan disahkan bahawa pada 2006 beliau memegang jawatan sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank Investment Bank Berhad.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )