Tambah bilangan anggota bomba wanita secara berperingkat – Zuraida

Tambah bilangan anggota bomba wanita secara berperingkat – Zuraida

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengesyorkan agar Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah bilangan anggotanya dalam kalangan wanita dalam usaha memartabatkan kaum berkenaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, setakat ini penglibatan golongan wanita di dalam JBPM hanya lima peratus sahaja berbanding jumlah keseluruhan anggota bomba iaitu seramai 14,400 anggota.

“Saya minta JBPM buat penganbilan khusus untuk wanita (kerana) dengan adanya pengambilan ini kita mampu menarik perhatian wanita untuk datang menjadi rekrut kepada program latihan.

“Kita sudah tetapkan kuota kepada JBPM untuk sesi pengambilan, walaupun kita dah ada lima peratus penglibatan tetapi kita cuba tingkatkan kepada 10 peratus dan akan cuba meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya juga beri panduan kepada JBPM agar longgarkan kelayakan dan ujian yang lebih keras terhadap wanita sekiranya ia tidak memerlukan skop penugasan tersebut berbanding lelaki,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung insiatif KPKT untuk menambah bilangan anggota bomba di dalam JBPM ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Zuraida turut memaklumkan setakat ini hanya terdapat lapan anggota pegawai tinggi di kalangan wanita yang mengetuai balai bomba daripada jumlah keseluruhan 327 balai seluruh negara dan angka itu disifatkan masih belum memadai.

Menurut beliau, ramai yang beranggapan perkhidmatan di dalam JBPM selama ini lebih tertumpu pada kaum lelaki berikutan skop penugasan yang lasak dan merbahaya.

Bagaimanapun, Zuraida berpendapat, terdapat pelbagai penugasan lain yang dilihat lebih bersesuaian digalas oleh anggota wanita.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )