Tajuk berita Malaysiakini tidak tepat dan mengelirukan – KPPK

Tajuk berita Malaysiakini tidak tepat dan mengelirukan – KPPK

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kesal dengan tajuk berita portal Malaysiakini versi Bahasa Melayu berhubung kenyataan oleh menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Dewan Rakyat hari ini, yang disifatkan tidak tepat dan mengelirukan.

KPPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan tajuk berita yang dimuat naik pada pukul 1.02 petang bertajuk ‘Dulu perlekeh PH, sekarang menteri PN galakkan pula’ turut didapati menimbulkan salah faham dan memungkinkan kesimpulan tidak benar oleh pembaca ekoran tajuk yang diada-adakan.

“KPPK mahu supaya tajuk itu dibetulkan dengan ayat yang selari dengan berita seperti dilaporkan oleh wartawan Malaysiakini sendiri. Pembetulan mesti membabitkan semua platform media Malaysiakini,” menurut kenyataan itu.

Jelas kementerian itu, jawapan Mohd Khairuddin di Dewan Rakyat, langsung tidak menyentuh pendirian beliau sama ada memberi galakan atau tidak, terhadap penggunaan sesudu minyak sawit merah yang dipromosi oleh menteri sebelum ini.

Menurut kenyataan itu apa yang ditegaskan dan digalakkan oleh menteri ialah pengambilan Vitamin E Tokotrienol yang terhasil daripada minyak sawit yang memberikan kebaikan kesihatan.

Turut disertakan transkrip semasa sesi Pertanyaan Lisan pagi tadi: “Tentang sesudu minyak sawit yang digalakkan (oleh Teresa) adalah sesudu minyak sawit merah. Tetapi yang saya lebih galakkan adalah vitamin E daripada minyak sawit iaitu Tokotrienol. Ini yang patut diambil oleh rakyat Malaysia dan saya ada edarkan secara percuma kepada semua Ahli Parlimen, ini untuk kesihatan.”

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )