Syed Saddiq: Malaysia Perlu Jujur, Ambil Kesempatan Dalam Krisis Tarif Global

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menggesa kerajaan agar lebih jujur dan telus dalam menjelaskan impak sebenar tarif balas Amerika Syarikat terhadap ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor semikonduktor, pelaburan asing, dan perabot.

Dalam perbahasan Parlimen hari ini, beliau berkata rakyat perlu dimaklumkan dengan fakta yang jelas walaupun ia menyakitkan, agar mereka lebih bersedia menghadapi kemungkinan kesukaran ekonomi yang bakal berlaku.

“Kita perlu ikhlas dan berani seperti Perdana Menteri Singapura yang mengaku secara terbuka bahawa negaranya bakal hadapi masa sukar,” tegas Syed Saddiq.
Malaysia Tak Terkecuali: “RM17 Bilion Lesap Hanya Kerana 1%”

Syed Saddiq menolak pandangan bahawa Malaysia hanya akan terkesan sedikit akibat perang dagang AS. Beliau membangkitkan beberapa angka penting:
• Bursa Malaysia susut 8% sejak awal 2025
• RM8.68 bilion dana asing keluar dalam suku pertama
• GDP dijangka turun dari 5% ke 4%, iaitu kehilangan RM17 bilion – bersamaan kos membina lebih 200 hospital awam

Beliau turut menyanggah kenyataan Perdana Menteri bahawa sektor semikonduktor dan E&E tidak terkesan. Katanya, pengecualian hanya melibatkan pengeluaran “high value chain”, sedangkan Malaysia masih bergantung kepada “low value chain” seperti packaging dan assembly yang berisiko tinggi untuk dikenakan tarif.

Pelaburan, Pelancongan dan Industri Tempatan Mungkin Terjejas
Syed Saddiq turut membangkitkan kebimbangan tentang:
• Kemungkinan pelaburan asing, termasuk dari AS, ditangguhkan atau dibatalkan
• Pelancong dari China mungkin kurang datang sempena Visit Malaysia 2026 kerana kuasa beli menurun
• Industri perabot Muar yang mengeksport lebih RM10 bilion ke AS kini dalam risiko, terutama jika dikaitkan dengan tuduhan “transshipment” dari China
“Saya mohon kerajaan beri jawapan – apakah strategi kita bagi pelaburan dan industri-industri ini?” katanya.

Krisis PETRONAS-PETROS Jejas Pelaburan
Beliau turut menegaskan bahawa ketidaktentuan antara PETRONAS dan PETROS telah menjejaskan pelaburan syarikat ConocoPhillips bernilai RM13 bilion. Syed Saddiq menyeru agar kerajaan Persekutuan dan negeri segera mengadakan gencatan senjata demi kestabilan pelaburan.

“Kita perlu bersatu ketika krisis, bukan berbalah sesama sendiri,” ujarnya.

Cadang Jawatankuasa Khas Perjanjian Rahsia (NDA)
Mengulas rundingan kerajaan dengan AS yang tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA), Syed Saddiq mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas Parlimen bagi meneliti syarat-syarat rundingan tersebut agar dasar seperti keutamaan bumiputera tidak terjejas.

“Jika rundingan dibuat tanpa sokongan rakyat dan Parlimen, pihak lawan tahu kita lemah. Kita perlu kesatuan dan kekuatan politik untuk hasil rundingan terbaik,” katanya.
“Krisis Adalah Peluang”: Malaysia Perlu Ambil Peranan Strategik

Mengakhiri ucapannya, beliau berkata Malaysia masih mempunyai peluang untuk menang dalam krisis ini dengan strategi bijak, merujuk kepada kejayaan India menarik pelaburan Apple selepas konflik AS-China.

“Jika Vietnam dikenakan tarif lebih tinggi, ini peluang Malaysia. Kita mesti cerdik manfaatkan kelebihan dalam kesempitan ini,” tegasnya.

-ParliaMentNews

CATEGORIES
Share This