Status pelaksanaan Undi18 antara fokus Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR,. Status pelaksanaan Undi18 dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk melaksanakannya antara isu yang bakal dikupas pada persidangan Parlimen hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan oleh Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kepada Perdana Menteri.
Pada sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyatakan jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan untuk program vaksinasi di seluruh negara mengikut Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi Pertanyaan Menteri akan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan sama ada kementerian akan menurunkan harga maksimum Kit Ujian Kendiri COVID-19 secara berperingkat daripada harga siling RM19.90 yang ditetapkan ketika ini.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyambung semula perbahasan Titah Diraja.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.
— BERNAMA