Status muzium alam semulajadi, masalah muflis, kereta terbang fokus Dewan Rakyat

Status muzium alam semulajadi, masalah muflis, kereta terbang fokus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Strategi kerajaan dalam membantu golongan muflis selain status terkini rancangan membina Muzium Alam Semulajadi pertama negara, dijangka bakal mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, persidangan bermula dengan Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan antara soalan yang dikemukakan ialah daripada Willie anak Mongin (PH-Puncak Borneo) mengenai jumlah golongan muflis mengikut pecahan umur selain strategi kerajaan membantu mereka.

Tidak kurang menariknya soalan daripada Ahmad Hassan (PH-Papar) yang meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan status terkini perancangan untuk membina Muzium Alam Semulajadi pertama di Malaysia.

Selain itu, antara yang bakal menarik perhatian ialah soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan mengenai penyakit yang telah lama dapat dibendung seperti TB, namun kini dilapor timbul kembali dalam masyarakat Malaysia.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) turut serta dalam sesi ini apabila meminta penjelasan Kementerian Pembangunan Usahawan berhubung kesediaan kerajaan membina dan mempersiap pelan ekosistem utama dan sokongan bagi industri kereta terbang di Malaysia.

Selain itu, Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) akan mengemukakan soalan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkaitan liputan terkini sistem komunikasi selular di kawasan penempatan Orang Asli mengikut jenis sambungan 2G, 3G, dan 4G.

Sesi tersebut dijangka berakhir pada 12 tengah hari, diikuti dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 yang masuk hari keempat.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )