Status empat ahli Parlimen Sabah keluar Bersatu masih kekal, kedudukan diumum selepas 21 hari – Johari
KUALA LUMPUR,. Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul hari ini berkata status empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar daripada Bersatu setakat ini kekal dan belum ada kekosongan kerusi mereka.
Beliau berkata notis pemakluman daripada Bersatu untuk mengesahkan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka empat Ahli Parlimen berkenaan, telah diterima pada 27 Dis.
“Saya kena teliti dahulu… keputusan mengenai kedudukan mereka akan diumumkan selepas tempoh 21 hari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dalam kenyataan hari ini berkata notis berkenaan diserahkan untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan.
Menurut beliau notis berkenaan adalah selaras Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan, melibatkan empat ahlinya yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang Dipertua apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara ini, hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh 21 dari tarikh menerima notis bertulis itu.
Di dalam notis berkenaan, Ahli Parlimen yang dinamakan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata semasa persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis lepas, empat Ahli Dewan Rakyat itu duduk di blok kerajaan.
“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ (beralih sokongan) dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi,” katanya.
Beliau berkata keahlian mereka sebagai anggota Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Dis lepas.
“Justeru, menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan, Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.
Pada 10 Dis lepas, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilapor berkata pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah, dan demi kepentingan negeri, perpaduan selain memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
— BERNAMA