
SPAN luluskan perbelanjaan modal RM7.7 bilion bagi 82 projek di bawah TSM – Fadillah
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan perbelanjaan modal berjumlah RM7.7 bilion bagi 82 projek penambahbaikan perkhidmatan air seluruh negara di bawah mekanisme penetapan tarif TSM bagi tempoh pelaksanaan kedua (TP2).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek yang diluluskan itu bertujuan memastikan syarikat bekalan air negeri dapat memberikan perkhidmatan air yang baik kepada pengguna.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata daripada 82 projek itu, 23 projek adalah untuk kecukupan bekalan air, 20 projek bagi peningkatan kualiti air, 20 projek lain untuk mengurangkan kadar air tanpa hasil, 16 projek penambahbaikan sistem agihan dan tiga projek lain yang berkaitan.
“Kalau kita melihat pencapaian syarikat-syarikat air daripada tahun-tahun yang lepas, melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, secara keseluruhan boleh dikatakan syarikat yang mencapai tahap terbaik adalah tiga negeri, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Manakala yang lainnya adalah pada kadar yang memuaskan, yang tidak mencapai (KPI) atau kurang memuaskan iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memastikan pelarasan tarif bekalan air di bawah TSM bagi TP2 yang berkuat kuasa 1 Ogos, 2025 tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40.
Fadillah berkata justeru, kementerian akan menumpukan dan memastikan ketiga-tiga negeri itu akan mencapai KPI terbaik untuk memastikan keterjaminan bekalan dan pengurangan aduan daripada rakyat.
“Sudah pasti kita memfokuskan kepada rakyat supaya kadar yang dinaikkan itu tidak membebankan khususnya pengguna domestik,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata PETRA sedang menumpukan usaha membantu kerajaan negeri dan syarikat utiliti di peringkat negeri menyelesaikan masalah air tanpa hasil (NRW), yang memberi kesan kepada sektor bekalan air negara.
Beliau berkata NRW di beberapa negeri telah mencecah lebih 50 peratus, sekali gus menyebabkan separuh daripada air yang telah dirawat hilang sebelum sampai kepada pengguna.
“Kita mendapati kadar NRW adalah tinggi dan ada negeri yang (mencatatkan) kadar NRW lebih 50 peratus.
“Sebab itu dua kategori telah diwujudkan iaitu yang diberi geran dan yang diberikan geran padanan, kerana kalau mereka dapat mengurangkan NRW, maka usaha itu dapat mengurangkan kehilangan air yang telah dirawat,” katanya.
Fadillah berkata PETRA juga sedang meneliti pendekatan paling berkesan untuk mempercepat penggantian paip lama di seluruh negara supaya isu kehilangan air terawat dapat ditangani secara menyeluruh.
–BERNAMA

