Solar berskala besar di Sabah dijangka mula operasi seawal 2025

Solar berskala besar di Sabah dijangka mula operasi seawal 2025

KUALA LUMPUR,. Projek Solar Berskala Besar (LSS) bersekali dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri di Sabah dijangka beroperasi pada 2025 atau 2026.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata ia antara opsyen yang dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menangani isu peningkatan permintaan elektrik di kawasan Pantai Timur di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang memperhalusi opsyen-opsyen penjanaan dengan mengambil kira kecukupan bahan api dan kos pembekalan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik dan memenuhi peningkatan permintaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai rancangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi menangani isu bekalan elektrik yang kerap terputus dan semakin meningkat di daerah Tawau.

Sementara itu, Huang memaklumkan prestasi sistem pembekalan elektrik di Sabah dipantau dengan menggunakan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI), yang mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik kepada pengguna dalam tempoh setahun.

Beliau berkata Sabah mencatatkan SAIDI sebanyak 74.91 minit/pengguna setakat 31 Mac lepas dan menetapkan sasaran SAIDI di negeri itu bagi 2023 adalah 250 minit/pengguna/tahun.

Menurut Huang antara faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik di Negeri Bawah Bayu itu adalah gangguan binatang liar, pokok yang mengganggu kabel, kerosakan kabel dan lebihan beban yang berpunca daripada sambungan haram.

Bagi mengatasi masalah tersebut, beliau berkata kerajaan melalui SESB telah melaksanakan aktiviti senggaraan pencegahan melalui pemasangan Automasi Pembahagian bagi mengurangkan tempoh gangguan dan mempercepat kerja-kerja pemulihan bekalan yang dilakukan secara jarak jauh.

“Selain itu, penggunaan teknologi dron juga dilakukan untuk rondaan talian dan kabel elektrik yang akan menjimatkan masa pemeriksaan dan pelaksanaan projek menaik taraf sistem bekalan elektrik meliputi projek penukaran konduktor bertebat, penukaran alat suis dan kerja naik taraf pepasangan atau peralatan usang,” katanya.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )