Sokongan GPS kepada Muhyiddin bukan untuk lobi jawatan Kabinet
KUALA LUMPUR,. Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bukan untuk menyertai Kabinet Persekutuan.
Tegas Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, tiada syarat ditetapkan gabungan itu dalam memberi sokongan kepada Muhyiddin.
Malah, soal kedudukan wakil rakyat GPS dalam jemaah menteri baru nanti juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Tertutup yang dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Perkara ini tidak dibincangkan dan segalanya terletak kepada kebijaksanaan dan budi bicara Abang Johari dalam rundingan sama ada kita akan bersama dalam kerajaan atau tidak.
“Sokongan kita juga adalah untuk memastikan kemelut politik selesai dan Perdana Menteri dilantik,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas selesai menghadiri mesyuarat tertutup GPS di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurut Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, sokongan diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri demi kepentingan dan kestabilan negara.
“Apa yang penting pada masa ini agar kerajaan dapat diwujudkan supaya kestabilan politik itu wujud dan ini dapat membantu meleraikan keadaan dalam masa sama dapat memperkukuhkan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil kira perjuangan GPS berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Malah, hak persempadanan dan Imigresen juga perlu terus diperkukuh demi menjaga kestabilan negeri itu.
“Beliau (Tan Sri Muhyiddin) mesti merealisasikan impian Sarawak mempertahankan syarat MA63, hak tanah, persempadanan dan imigresen negeri.
“Perkara ini tidak boleh dirunding. Ini hak keistimewaan Sarawak dan Muhyiddin peru mengiktirafnya,” katanya.