Sokongan Belanjawan 2021, jangan biarkan rakyat jadi ‘mangsa politik’ – PEMANIS

Sokongan Belanjawan 2021, jangan biarkan rakyat jadi ‘mangsa politik’ – PEMANIS

KANGAR,. Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS) meminta semua ahli Parlimen khususnya pemimpin Melayu memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021 yang dijangka diputuskan secara undian di Dewan Rakyat esok agar rakyat tidak menjadi ‘mangsa politik’.

Yang Dipertua PEMANIS Datuk Mohd Zain Hamzah berkata sebagai pemimpin masyarakat, ahli Parlimen perlu melupakan seketika perbezaan ideologi politik agar ianya tidak menambah beban rakyat yang kini dihimpit kesusahan akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak COVID-19.

“Jangan jadikan rakyat sebagai ‘mangsa politik’ kerana kepentingan diri, kita semua bimbang jika Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas tidak diluluskan akan memberi kesan besar kepada rakyat dan negara.

“Belanjawan 2021 ternyata banyak memberi manfaat kepada orang-orang Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian, nelayan, peniaga kecil dan penoreh getah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, apa yang lebih merisaukan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan menjejaskan pembayaran gaji kepada 1.6 juta kakitangan awam akibat wang negara tidak boleh dikeluarkan.

“Kita tidak mahu catatan ‘hitam’ terukir dalam lipatan sejarah negara, apabila buat pertama kali belanjawan negara tidak diluluskan akibat sikap rakus wakil rakyat yang lebih mementingkan cita-cita politik daripada kepentingan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )