
SKP akan kawal selia pemberi kredit bukan bank termasuk BNPL
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan mengawal selia perniagaan pemberi kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit termasuk skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL), kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata SKP telah ditubuhkan di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP), setelah Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 diluluskan baru-baru ini di Dewan Negara.
“Di bawah AKP, pemberi kredit dikehendaki mematuhi keperluan amalan yang bertanggungjawab (conduct requirements) termasuk penilaian kemampuan (affordability assessment) berhutang ke atas pengguna kredit.
“Kita mesti memastikan tema urus niaga yang adil, pengenaan caj yang telus serta berpatutan dan tidak membebankan pengguna,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng yang ingin tahu apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan setelah RUUKP diluluskan demi memastikan kawal selia untuk perkhidmatan BNPL dapat dilaksanakan dengan kadar segera supaya rakyat khususnya anak muda tidak terjerumus dalam perangkap hutang yang menjejaskan masa depan mereka.
Lim berkata SKP juga akan melaksanakan satu sistem pengurusan aduan yang berkesan bagi memastikan pengurusan aduan yang lebih efisien oleh syarikat-syarikat pemberi kredit dan penyedia perkhidmatan kredit yang dikawal selia.
Tambahnya pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan terus memantau perkembangan industri BNPL dan meneliti isu-isu yang berkaitan buat masa ini.
— BERNAMA

