![Sistem pengangkutan mampan pacu pertumbuhan negara – Mahathir Sistem pengangkutan mampan pacu pertumbuhan negara – Mahathir](https://parliamentnews.org/wp-content/uploads/2019/10/494234.jpg)
Sistem pengangkutan mampan pacu pertumbuhan negara – Mahathir
KUALA LUMPUR,. Rakyat Malaysia boleh mengharapkan kepada kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di sini hari ini, beliau berkata kerajaan berada dalam kedudukan terbaik untuk berbuat demikian menerusi perancangan strategik selain kerjasama dan komitmen daripada peserta industri, rakyat serta pihak lain.
“Dasar ini akan memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan,” kata Dr Mahathir.
Pada majlis yang berlangsung di KL Sentral, Dr Mahathir menarik perhatian bahawa Dasar Pengangkutan Negara atau DPN itu adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang bermatlamatkan kesaksamaan keberhasilan.
“Ia juga memberi penekanan kepada inklusiviti dalam penyertaan rakyat mahupun pemain industri dalam aktiviti ekonomi sektor pengangkutan khususnya pengangkutan awam,” kata perdana menteri.
Menurutnya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan akan ditangani melalui dasar itu adalah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan perkembangan e-dagang.
“Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan dan usahawan dalam bidang pengangkutan bagi mendapatkan faedah ekonomi,” katanya.
Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui projek pembinaan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan penduduk bandar.
Malaysia, katanya, memilih untuk tidak mengehadkan jumlah kenderaan persendirian dan ini menjurus kepada jalan dalam bandar serta luar bandar terpaksa dibina sepanjang masa.
“Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam termasuk membekalkan rel elektrik berkembar,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa penggunaan rel masih berada di tahap rendah dengan kenderaan berat dan besar masih banyak menggunakan jalan raya yang mengundang kemalangan.
Menurutnya, adalah lebih baik jika ‘freight’ yang besar dan berat menggunakan sistem rel sedia ada.
“Jika sistem yang ada sekarang tidak mencukupi, kerajaan akan berusaha menambah kemudahan ini daripada pendapatan yang akan bertambah jika sistem rel lebih digunakan untuk muatan barangan terutama yang berat dan besar,” kata Dr Mahathir.
— BERNAMA