Sistem Insurans Pekerjaan (Sip) Perkeso Bersedia Membela Nasib 800 Pekerja Utusan Melayu
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -– Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), bersedia membantu lebih 800 pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang terlibat dengan penutupan syarikat pada hari ini.
PERKESO telahpun mengadakan sesi taklimat dengan pihak Utusan Melayu pada 28 September 2019 mengenai bantuan-bantuan yang disediakan oleh Kerajaan melalui SIP.
Untuk makluman, pekerja yang terlibat akan menerima bantuan kewangan segera dengan kadar 80% hingga 30% daripada gaji yang diinsuranskan bagi tempoh antara 3 hingga 6 bulan. Sebagai contoh, pekerja yang bergaji RM4,000 akan menerima bantuan sebanyak RM3,160 bagi bulan pertama, RM1,975 bagi bulan kedua dan bulan-bulan seterusnya pada kadar menurun.
Sebelum ini, pada Disember 2018, seramai 551 pekerja yang terlibat dengan penamatan pekerjaan dari Utusan dan anak syarikat yang berkaitan telah menerima bantuan kewangan melalui skim ini dan sebahagiannya telahpun kembali bekerja.
PERKESO juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) yang mempunyai 60 ahli yang aktif untuk membantu menempatkan pekerja-pekerja yang terlibat bagi mengisi kekosongan di pelbagai bidang seperti pereka grafik (graphic designer), juruteknik percetakan dan operator mesin.
Mana-mana pekerja Utusan yang memerlukan kemahiran baru dalam mana-mana bidang yang mereka berminat atau yang diperlukan oleh majikan, pihak PERKESO akan menguruskan program latihan dengan penyedia latihan yang berdaftar di mana kos latihan akan ditanggung oleh SIP, manakala pekerja yang mengikuti latihan akan dibayar elaun menjalani latihan sebanyak RM10 hingga RM20 sehari.
Bagi pekerja yang belum mengemukakan permohonan, sila kemukakan permohonan secara dalam talian https://eis.perkeso.gov.my/eisportal atau hadir ke mana-mana Pejabat PERKESO yang berdekatan.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai SIP, sila hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di 1-300-22-8000 atau melalui email [email protected]