Sidang Khas Dewan Negara lulus pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA

Sidang Khas Dewan Negara lulus pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA

KUALA LUMPUR,. Sidang Khas Dewan Negara hari ini meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Ketika membentangkan usul itu, Hamzah berkata, Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Hamzah ketika menggulung perbahasan usul itu menafikan pelanjutan subseksyen itu membolehkan berlakunya penindasan mahupun kezaliman terhadap tahanan.

Hamzah berkata hak asasi individu, hak berjumpa peguam dan hak supaya waris dimaklumkan mengenai tangkapan berkenaan sudah sedia ada dalam akta itu.

“Seksyen 5 SOSMA memperuntukkan hak kepada suspek untuk dimaklumkan sebab tangkapan. Kita tangkap dan kita maklumkan kepada dia sebab apa (ditangkap).

“Kemudian, hak suspek untuk berjumpa peguam, ada dalam akta itu sendiri. Hak untuk dimaklumkan kepada waris kadim, juga ada. Selain itu, suspek juga diberikan hak untuk dibicarakan di mahkamah di bawah Seksyen 12 SOSMA,” katanya.

Seramai 24 Senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul berkenaan.

Semalam, usul itu diluluskan Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )