Sidang Dewan Rakyat 18 Mei adalah sah – S/U Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat 18 Mei adalah sah – S/U Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bersidang sehari pada 18 Mei lalu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

Perkara itu dinyatakan menerusi afidavit yang diikrarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin bagi pihak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Jun lalu.

Affidavit Nizam Mydin, 45, itu bagi menjawab saman pemula difailkan seorang peguam R. Kengadharan, 53 dan aktivis sosial D. Arumugam, 50, selaku plaintif, pada 15 Mei lepas terhadap Muhyiddin dan Mohamad Ariff yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, bagi memohon deklarasi bahawa persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 18 Mei 2020, tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan terbatal.

Menurut Nizam Mydin, permohonan Kengadharan dan Arumugam adalah tidak bermerit kerana kesahan apa-apa prosiding dalam mana-mana satu Majlis Parlimen tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah di bawah Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 2 Mac 2020 lalu, Ketua Majlis (Muhyiddin) telah mengemukakan takwim penggal ketiga Parlimen ke-14 yang baharu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, mesyuarat pertama adalah dari 18 Mei hingga 23 Jun; mesyuarat kedua dari 27 Julai hingga 27 Ogos; dan mesyuarat ketiga dari 28 Sept hingga 26 Nov 2020.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 17 April lalu, Ketua Majlis (Muhyiddin) telah meminda tarikh mesyuarat pertama kepada 18 Mei 2020 sahaja disebabkan penularan COVID-19.

“Melalui surat bertarikh 12 Mei 2020 pula, Ketua Majlis telah meminda urusan mesyuarat pertama kepada Titah Diraja pada istiadat pembukaan penggal Parlimen disebabkan wabak COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya,” katanya.

Nizam Mydin berkata mesyuarat pertama yang diadakan pada 18 Mei lalu adalah menepati peraturan mesyuarat majlis.

“Jika Parlimen tidak bersidang menurut peraturan majlis ia hanya terjumlah kepada suatu salah aturan sahaja dan bukannya tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. Sebarang kepincangan berdasarkan peraturan majlis sama sekali tidak mencacatkan prosiding Parlimen,” katanya,

Sehubungan itu, Nizam Mydin memohon supaya saman pemula difailkan dua pemohon itu ditolak dengan kos.

Dalam saman itu, plaintif memohon deklarasi bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung pada Isnin, 18 Mei pada 10 pagi hanya bagi urusan Titah Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.

Saman itu difailkan atas alasan persidangan yang ditetapkan pada 18 Mei itu yang hanya bagi urusan Titah Diraja tidak memenuhi Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan dan akan menyebabkan Mesyuarat Pertama tersebut ‘illusory’ kerana tiada urusan lain yang mustahak seperti dalam Kaedah 14(1) Peraturan-Peraturan Mengenai Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat disempurnakan.

Pada 13 Mei lepas, Mohamad Ariff dalam kenyataannya berkata beliau telah menerima surat pemakluman ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung selama sehari itu dipinda, melibatkan urusan mesyuarat berkenaan.

Mohamad Ariff berkata perkara itu adalah disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.

Pendengaran permohonan kes ditetapkan pada 30 Julai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )