Sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat distruktur semula

Sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat distruktur semula

KUALA LUMPUR,. Sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat sedia ada distruktur semula melibatkan komposisi Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata penstrukturan semula itu susulan termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara pihak Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September lepas.

“Bagi memenuhi satu daripada perkara yang dipersetujui iaitu keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas, keahlian dalam semua Jawatankuasa Pilihan Khas telah ditambah daripada tujuh orang ahli kepada sembilan orang ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen pembangkang di setiap Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut juga dibahagi antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam nisbah 5:4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata bagi pihak kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan ialah Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Azizah Mohd Dun manakala Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

“Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman manakala Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.

“Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita & Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya.

Bagi pihak pembangkang, beliau berkata mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik manakala Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas telah dipersetujui untuk diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa yang ketika ini dalam proses pemilihan ahli-ahli, menjadikan jumlah keseluruhan Jawatankuasa Pilihan Khas sebanyak 10.

“Semoga dengan kewujudan struktur baharu jawatankuasa ini akan dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan efektif ke arah memperkukuhkan lagi fungsi institusi perundangan negara yang lebih cakna, telus dan diyakini sejajar dengan aspirasi memperkasakan pembaharuan Parlimen Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )